News
- Home
- News
UPSI HOLDINGS PERKUKUH PENDIDIKAN DIGITAL , TINGKAT KEMAHIRAN 3M SK TAIPING
Oleh Wartawan Berita RTM
29/12/2025
TAIPING, 29 Disember – UPSI Holdings Sdn Bhd, dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), terus memperkukuh komitmen memartabatkan kualiti pendidikan negara melalui pemerkasaan pendidikan digital serta peningkatan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) di peringkat sekolah rendah.
Komitmen itu dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Anugerah Terunggul 2025 Sekolah Kebangsaan (SK) Taiping yang berlangsung pada 17 Disember lalu di Dewan Taming Sari, SK Taiping, Perak sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan guru serta pencapaian akademik murid sepanjang tahun 2025.
Pengurus Besar UPSI Holdings Sdn Bhd, Mohd Effendy Dato’ Mohamad Zailani berkata, seiring dengan usaha memperkasa ekosistem pendidikan berteraskan teknologi, UPSI Holdings Sdn Bhd turut mengumumkan sumbangan strategik sebanyak 30 set Modul 3M dan 20 unit tablet bagi menyokong serta memperkukuh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) murid sekolah berkenaan.
“Sumbangan ini diharapkan dapat meningkatkan literasi asas dan kemahiran numerasi murid selaras dengan keperluan pendidikan digital semasa.
“Inisiatif ini juga mencerminkan sinergi berterusan antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah dalam membangunkan pendekatan pembelajaran yang holistik, inklusif dan berimpak tinggi, sejajar aspirasi nasional ke arah melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta berdaya saing,” katanya.
Beliau memberitahu demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang kepada guru-guru serta anugerah kecemerlangan akademik kepada murid-murid yang menunjukkan prestasi cemerlang di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Effendy memaklumkan, Majlis Anugerah Terunggul 2025 bukan sahaja menjadi platform penghargaan, malah berfungsi sebagai pemangkin kepada budaya kecemerlangan berterusan dalam kalangan warga pendidik dan murid.
Ia selaras dengan usaha berterusan UPSI dan UPSI Holdings Sdn Bhd dalam memperkasa landskap pendidikan negara.
UPSI–HONOR BAKAL BANGUNKAN MAKMAL PENDIDIKAN AI PERTAMA DI ASIA TENGGARA
Oleh Wartawan UtusanMelayu+
16/10/2025
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal membina Makmal Pendidikan Kecerdasan Buatan (AI) pertama di Asia Tenggara hasil jalinan kerjasama strategik dengan syarikat teknologi global, HONOR, melalui termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU), hari ini.
Perjanjian yang diadakan di Ibu Pejabat HONOR, Shenzhen, China itu ditandatangani oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, manakala HONOR diwakili oleh Presiden HONOR South Pacific, Li Jing.
Turut hadir menyaksikan pementeraian MoU tersebut, Pengurusi Education Malaysia Global Services (EMGS) merangkap Penasihat Khas Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.
Menurut Dr. Md Amin , UPSI dan HONOR akan meneroka pelbagai bidang kerjasama termasuk pengajaran dan pembelajaran digital, penyelidikan serta penerbitan bersama, pendedahan industri dan mobiliti akademik, khidmat perundingan serta penglibatan komuniti dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
“Kerjasama itu akan menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan tinggi negara dengan memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan AI yang pertama seumpamanya di rantau ini.
“UPSI berbangga menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi antarabangsa seperti HONOR untuk membangunkan Makmal Pendidikan AI di Perpustakaan Tuanku Bainun.
“Makmal ini bukan sahaja akan menjadi pusat latihan dan penyelidikan bagi warga UPSI, malah akan dibuka kepada komuniti luar untuk merasai pengalaman pembelajaran berasaskan teknologi masa depan,” katanya.
Pada majlis yang sama turut menyaksikan sesi menandatangani MoU antara UPSI Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) dengan HONOR yang diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UHSB, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Menurut beliau, MoU antara UHSB dan HONOR pula merangkumi usaha mempromosikan, memasarkan dan menjual produk terpilih keluaran HONOR kepada UPSI, universiti awam lain serta agensi kerajaan di Malaysia.
Kerjasama itu turut memberi fokus kepada pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan strategi perkhidmatan, dan penubuhan pusat drop-off atau pusat servis di kawasan universiti bagi meningkatkan nilai perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kita percaya inisiatif ini akan menjadikan UPSI bukan sahaja sebagai peneraju pendidikan guru, tetapi juga hab inovasi teknologi pendidikan di Asia Tenggara.
Makmal Pendidikan AI tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat dan bakal menjadi simbol kebitaraan UPSI dalam mendepani era digitalisasi pendidikan global.
UPSI HOLDINGS, UPSI DAN NCIA MEMPERKASA PENDIDIKAN DI SK PROTON CITY, TG MALIM
Tanjung Malim, 12 Julai 2024 – NCIA menyumbangkan 50 set naskah bagi modul tahun enam yang merangkumi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains selain 50 tablet untuk memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Pengurus Besar UPSI Holdings Sdn. Bhd. (UHSB), Mohd Effendy Mohamad Zailani berkata, modul yang diberikan itu menggunakan kaedah pengajaran secara terbimbing yang bersesuaian dengan akademik murid.
“Selain itu, ia juga menekankan tips untuk menguasai mata pelajaran tersebut. Pemberian tablet bagi menyahut Dasar Pendidikan Digital yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” kata Pengurus Besar, UHSB.
https://www.kosmo.com.my/…/upsi-ncia-perkasa…/
